Kid Bomba jawab isu kenapa dia mahu pindah ke Asia Tenggara untuk kembangkan karier MLBB

Pasukan dari Negara Bebas Komanwel (CIS), DeusVult mengejutkan ramai pihak dengan prestasi mereka di peringkat kumpulan sekali gus menewaskan HomeBois dan TheOhioBrothers.

Pemain EXP mereka, Mathaios “Kid Bomba” Chatzilakos menjadi bualan hangat kerana isu taunting ke atas pasukan Geek Fam dengan menunjukkan pose ‘mana suaranyaaaa’ hingga menyebabkan pemain Geek Fam ID berbalas taunting selepas menang.

Walaupun tewas di pusingan upper bracket menentang ONIC ID, mereka akan bertembung See You Soon pula pada 15 Disember ini.

Dalam satu sidang media selepas tamat perlawanan ke atas ONIC, Kid Bomba menyatakan alasannya ingin pindah ke Asia Tenggara kerana mahu menyambung karier e-sukannya dalam mLBB.

“Di Jerman (negara asal saya), ia kekurangan ruang dan persekitaran untuk daya saing secara kompetitif dan Asia Tenggara adalah ‘lubuk peluang’ yang menawarkan arena kompetitif dan juga ekosistem e-sukan lebih stabil,” katanya.

Dia juga mengatakan bukan hanya Jerman yang berdepan situasi sukar dalam e-sukan MLBB malah rantau seperti Eropah dan Nordic juga berdepan isu sama di mana infrastruktur tidak terlalu bagus dan peluang bermain di peringkat kompetitif yang terhad untuk MLBB.

“Tiada apa di Jerman dan ada sesuatu di sini (Asia Tenggara). Saya rasa dengan buat sesuatu di tempat lain (rantau SEA) adalah lebih baik dari ‘duduk’ di tempat (rantau) yang kita tak boleh berkembang. 

“Ia teruk, tiada pertandingan dan sebab itu saya ke rantau lain untuk menambah baik mutu permainan saya dan saya tidak mahu ‘terkongkong’ lagi,” katanya.

Kes ini sama seperti yang dihadapi Michael Cosgun (MobaZane) yang mengatakan Amerika Syarikat tidak berkembang sebagai rantau yang mempertandingkan MLBB kerana kekurangan infrastruktur dan sokongan untuk pemain e-sukan terutamanya MLBB.

RELATED NEWS

+