HusKKiee teruja mengulas dalam Bahasa Mandarin di MAL MY musim pertama

Berpeluang mengulas kejohanan e-sukan dalam bahasa ibunda pastinya menjadi impian bagi anak muda..

Ng Zhen Chuan (HusKKiee) adalah salah seorang pengulas yang diberi peluang keemasan ini sekali gus menganggap ia sebagai satu cabaran baru buatnya. HusKKiee kini mengulas dalam Bahasa Mandarin untuk Liga Akademi MLBB Malaysia (MAL MY) musim pertama di samping pengulas MPL dikenali iaitu ReezPiuPiu.

Menceritakan pengalamannya, HusKKiee yang kebiasaannya mengulas dalam bahasa Inggeris berkata, dia berasa begitu teruja.

“Saya memang teruja dapat mengulas dalam bahasa ibunda. Ia sememangnya menjadi satu cabaran yang saya ingin sahut namun sedikit risau kerana ia sangat berlainan dari Bahasa Inggeris.

“Sepanjang membesar hingga remaja, saya suka menonton pengulasan Bahasa Mandarin kerana betapa elegan dan mahir pengulas-pengulas itu,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Dia berkata, sejak China diumumkan untuk menyertai ekosistem kompetitif MLBB, dia berasa teruja kerana kebarangkalian Mandarin akan diperluaskan dan dimasukkan sebagai satu platform untuk pengulasan di Malaysia.

“Mereka (penganjur) mengatakan untuk membantu ekosistem ini, saya boleh mencuba pengulasan Mandarin di MAL MY dan tanpa berfikir panjang memang saya terus sahut cabaran ini.

“Ia pastinya akan jadi satu cabaran besar, bercakap dalam bahasa berlainan. Saya perlu belajar terminologi MLBB dan bagaimana ia diulas ketika siaran langsung. Selain itu, saya perlu belajar kesemua nama hero, items dalam Mandarin juga.

“Tapi yang paling seronok adalah bekerjasama dengan bakat baru dan berinteraksi dengan mereka dari latar belakang berbeza. Seronok bila dapat dengari pengalaman mereka mengenai sesuatu yang saya tak pernah sangka,” ujarnya.

Mengenai jangkaan untuk pengulasan ini, dia bersikap realistik dan memahami di sebalik percubaan pertama ini pastinya ada pahit dan manis.

“Tapi saya yakin yang saya boleh mahir mengulas dalam Bahasa Mandarin dan berharap bakat-bakat dalam pengulasan bahasa ini mampu pergi jauh, berkembang dan meletakkan satu standard yang tinggi untuk arena kompetitif tempatan,” katanya.

HusKKiee berharap dia dapat terus maju jaya dengan persekitaran baru ini dan akan cuba berikan yang terbaik kepada penonton di luar sana.

“Ia satu perasaan teruja tidak terhingga bila dapat mengulas dalam bahasa ibunda, lebih-lebih lagi untuk game saya suka. Ia adalah satu impian menjadi kenyataan,” katanya mengakhiri perbualan.

Foto: AMXSNAPS / Instagram

RELATED NEWS

+