DOTA2: Fnatic Tamatkan Kemarau Kejuaraan Selepas Beberapa Tahun Di Asia Tenggara

Sejak memasuki pasaran Dota 2 Asia Tenggara, nasib Fnatic bukanlah cerah seperti yang disangkakan. Kejohanan demi kejohanan ditempuh tapi mereka masih belum menjumpai rentak diinginkan maka terjadilah perubahan pada roster demi roster.

Penulis masih ingat zaman kegemilangan mereka yang mana Fnatic meraih tempat keempat di The International (TI) 2016 lalu menerusi pimpinan Mushi dan kehadiran pub star kejohanan Mountain Dew iaitu MidOne. 

Namun, sejak itu mereka tidak berjaya menemukan kemenangan yang bermakna; hanya menerusi beberapa kejohanan seperti DreamLeague Season 11 tahun lalu, meraih tempat ketiga selepas tewas di tangan Virtus Pro. Di TI tahun lalu, nasib mereka tidak begitu baik apabila tewas awal di tangan Liquid sekali gus menggalas tempat ke-13 hingga ke-16.

Dari kiri: iceiceice, 23savage, Jabz, DJ dan Moon. Foto: VPGame

Baru-baru ini, seolah ada sinar bagi mereka selepas memenangi DOTA Summit 12, satu kejohanan bukan Dota Pro Circuit (DPC) yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Dalam kejohanan itu, mereka mendominasi ke atas OG.Seed dengan kemenangan bersih 3-0 di Grand Final sekali gus bawa pulang RM263,000, menamatkan kemarau kejuaraan.

Ia adalah kemenangan pertama Fnatic sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Asia Tenggara beberapa tahun lalu.

Bercakap mengenai kemenangan dan detik manis itu, pemain Malaysia, Kam Boon Seng atau Moon berkata, dia bersyukur dengan kerjasama ahli pasukannya.

Moon

“Kemenangan itu amat bermakna untuk kami. Ia adalah bukti kami boleh bekerjasama dan improve sebagai satu pasukan. 

“Bagi organisasi (Fnatic) sendiri, ia lebih bermakna kerana ini adalah kejohanan pertama dimenangi selepas beberapa tahun. Saya berbangga dapat jadi sebahagian darinya,” kata Moon. 

Sentiasa beranggapan keserasian itu sebagai kunci kemenangan, Moon berkata, dia dan Ice mempunyai perspektif sama terhadap Dota 2.

Iceiceice. Foto: VPEsports

“Kami berkongsi pandangan sama apabila bermain Dota 2. Keserasian kami sememangnya bagus sejak dari awal dan kami juga ‘sekepala’. DJ dan Jabs antara dua support terbaik di Asia Tenggara dan keserasian kami diperkuatkan lagi dengan kehadiran 23savage,” jelas Moon.

Akur dengan situasi semasa COVID-19 yang mengakibatkan lebih banyak acara e-sukan ditunda atau dibatalkan, Moon mempunyai perspektif tersendiri terhadap isu ini.

“Saya memang tak menyangka ia akan jadi sebegini (banyak acara dibatalkan). Saya sendiri rasa kita tak pernah alami situasi begini dan ia mengelirukan. Saya pun tak tahu apa jadi pada DPC dan bagaimana Valve merancang pelan akan datang mereka.

“Ada beberapa senario yang boleh berlaku seperti percubaan beta untuk liga serantau yang akan dilancar pada musim seterusnya. Disebabkan semua orang berada di rumah, ia boleh menggalakkan lebih banyak penganjur kejohanan untuk mengadakan liga dalam talian (online),” katanya.

Moon mengakhiri dengan berkata dia bersama ahli pasukannya sedang mengambil cuti berehat seketika dan melakukan kuarantin. Mereka juga berharap dapat sertai lebih banyak kejohanan dalam talian dan cuba terus aktif dalam arena profesional.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

TAGS

RELATED NEWS

+