‘Saya Nak Buktikan Pada Ibu, Main Game Bukan Aktiviti Sia-Sia, Boleh Menang Duit’ – Shahrizal Ibrahim, 16

Kalau pelajar lain sibuk fikir untuk dapat nombor satu dalam kelas, lain pula bagi Shahrizal Ibrahim, 16 tahun yang punya hobi berbeza berbanding remaja seusianya. Shahrizal gemar bermain AOV, satu permainan mudah alih genre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) keluaran Garena yang kini popular. 

Tapi bukan macam sesetengah orang ketagih sampai ganggu jadual harian. Sebagai pelajar, Shahrizal bukan saja pandai membahagikan masa tapi juga handal dalam AOV sejak direkrut ke M8 Gaming.

Tapi apa impian dia sebenarnya? Sebagai pelajar yang masih muda, pastinya dia ingin buktikan sesuatu kepada diri sendiri atau kepada keluarga. Ikuti temu bualnya bersama penulis.

Untuk korang yang nak tahu pendapat seorang pensyarah mengenai trend remaja ceburi eSports, klik sini.

Shahrizal Ibrahim (M8 Paranoia Meiko)

Soalan paling basic sekali ialah.. Sejak bila anda mula bermain game?

Saya mula bermain game pada umur 14 tahun. Sampai sekarang, saya dah ada 2 tahun pengalaman main MOBA games termasuklah League of Legends.. Tujuan pada mulanya sebab nak tambah kawan, nak cabar diri sendiri. Masa tu game Heroes Evolved tengah meletup di PC jadi mula-mula main for fun je, tapi tengok kawan-kawan ajak join pertandingan, dari situ saya mula interested nak go pro.

Pertandingan pertama saya join masa dua tahun dulu ialah game Heroes Evolved. Time tu team kitaorang menang RM800 untuk tempat pertama. Selepas AOV dilancarkan, saya mula beralih pada Mobile MOBA. Hasrat saya satu je nak cabar diri main kompetitif, menang duit, buktikan pada ibu.

Remaja terutamanya pelajar sekolah akan tumpukan perhatian pada pelajaran. Bagaimana pula dengan anda?

Macam saya katakan tadi, saya nak tunjuk dekat ibu, game ni bukanlah satu aktiviti melalaikan. Lagipun, saya bermain di peranti pintar. Tak perlu komitmen untuk menghadap PC setiap hari. Kadang-kadang dekat rumah pun boleh main, tak payah pergi kafe siber main sampai berjam-jam.

Lepas saya menang pertandingan Heroes Evolved tu, ibu mula bagi sokongan. Ibu pun ada tanya apa saya main dan dia ada perhatikan rutin harian saya. Tapi setakat ni saya masih sedar tanggungjawab lebih utama. Pelajaran tak pernah saya abaikan. Di Sekolah Menengah Taman Kosas, saya dalam aliran IT dan pernah mendapat nombor 3 dalam kelas.

Bagi saya, Mobile MOBA memberi kelebihan kepada kami pelajar untuk bermain tanpa perlu letak komitmen sangat. Homework siapkan dulu. Kalau tusyen, main 2 hari sekali.. belajar dengan tengok Reddit dan di Youtube.

SHAHRIZAL memenangi tempat keempat bersama ahli pasukannya (M8 Paranoia) di kejohanan AOV Valor Cup

Selepas discover anda memang berbakat dalam Mobile MOBA, apa tindakan anda seterusnya?

Masa Garena Arena of Valor baru dilancarkan, saya ada buat pengumuman nak cari team di laman sosial. Kemudian, saya ditemukan dengan pengasas M8 Gaming untuk bermain di bawah pasukan mereka. Mungkin sebab experience banyak jadi sebab tu saya direkrut dan paling penting playstyle. Tak ramai yang suka main Raz (karakter yang susah nak master). Alhamdulillah, all going well dan family saya pun menyokong minat saya ni.

Sepanjang berada di bawah M8 Gaming, mereka akan sediakan in-game item dan keperluan asas seperti duit belanja di pertandingan dan juga jersi. Kami akan train pada waktu malam je sebab ada yang tinggal jauh dan masih bekerja. Total ahli untuk organisasi ini lebih kurang 80 orang (dari game berbeza).

Kami bermain pusingan kelayakan untuk kejohanan Arena of Valor (AOV) Valor Cup di festival Comic Fiesta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Hanya dua team M8 (AOV) layak ke final. Kami akhirnya menduduki tempat keempat di final dan membawa pulang wang tunai RM10,000. Selepas dibahagikan sama rata, saya berjaya mengumpul RM3,800 sepanjang 2 tahun bermain game

Sudah tentu jumlahnya taklah besar mana tapi bagi saya, ia satu pencapaian luar biasa pada usia muda. Tapi selepas ni saya akan fokus pada satu lagi kejohanan AOV dan stop sekejap untuk fokus pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas habis belajar nanti, saya belum buat keputusan untuk main secara kompetitif lagi tapi kalau ada peluang, saya akan sahut cabaran tu.

RELATED NEWS

+