'FIFA Bukan Setakat Passion Tapi Boleh Jadi Satu Karier Pada Masa Depan' - Jeffery Lim

3 months ago By : Editorial team

Kalau biasa kita saksikan kejohanan e-sukan FIFA yang tertumpu di ibu negara (Kuala Lumpur), lain pula kali ini apabila Gamesbond menganjurkan Penang FIFA 18 Cyberyouth Cup 2017 di Mydin Mall, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 

Sebanyak RM10,000 menjadi rebutan dengan banyak lagi gaming peripherals daripada Razer. Acara ini mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Youth Development Corporation dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

Selepas bertungkus lumus meluncur ke pusingan akhir, akhirnya Jeffery Lim Chooi Poah, 24 tahun atau lebih dikenali sebagai eMaster_LucY membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta perkakasan elektronik daripada Razer.

Tapi bukan kemenangan itu yang penulis nak ketengahkan. Sebagai anak jati Pulau Pinang, Lucy pastinya mempunyai pengalaman berbeza menyertai pertandingan e-sukan berbanding rakan seperjuangannya di Kuala Lumpur. Ikuti temu bual penulis bersamanya.

Tahniah atas kemenangan anda! Soalan pertama saya adalah.. sejak bila anda mula bermain FIFA?

JEFFERY (kiri) mewakili Malaysia bersama Fire Dragoon Esports untuk kejohanan Asian Football Gaming Championship (AFGC). FOTO: Gamesbond

Dah lama. Sejak kecil saya seorang peminat bola sepak. Game FIFA pertama saya main ialah FIFA 08, jadi dah hampir 10 tahun. Saya pun kerap sertai pertandingan di ibu negara (Kuala Lumpur) sejak 2011 ketika masih lagi belajar. Tapi pada tahun 2016, saya berhenti seketika daripada bermain secara kompetitif untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan bekerja sepenuh masa.

JEFFERY (dua dari kiri) mewakili Malaysia bersama Fire Dragoon Esports untuk kejohanan Asian Football Gaming Championship (AFGC). FOTO: Gamesbond

Pada tahun lalu, saya start balik dan rasa sangat bersyukur sebenarnya sebab dapat wakili Malaysia ke kejohanan Asian Football Gaming Championship (AFGC) di Bangkok. Walaupun tak bergelar juara tapi ia satu pengalaman paling berharga untuk saya.

Ini adalah kejohanan FIFA paling besar di Pulau Pinang, apa pandangan anda tentang ini?

BERAKSI di Penang Cyberyouth Cup 2017

Gembira tak terkata bila dapat tahu kerajaan Pulau Pinang mula ambil kesedaran dan acknowledge kejohanan FIFA kerana saya rasa ada ramai remaja di sini yang boleh diasah bakat mereka.

Dalam usaha kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk memasarkan e-sukan di Pulau Pinang, saya sangat berharap akan ada banyak lagi pertandingan dan kemudahan fasiliti untuk pemain seperti saya dan juga mereka untuk berlatih bersama. 

Kalau main di peringkat profesional, biasanya pemain akan join clan. Adakah anda juga join clan FIFA dan berapa lama waktu latihan sehari?

Ya, saya tergolong dalam clan eMaster Electronic Sports Club yang bertapak di KL. Tapi disebabkan jauh dari tempat asal, jadi saya tak punya banyak masa nak jumpa mereka. Biasanya saya akan spend selama 3 jam setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad untuk sesi latihan tapi lepas waktu bekerja. Kalau hari minggu, masa tu nak pulun kaw-kaw sampai 5 hingga 6 jam.

Soalan terakhir adalah.. adakah anda rasa eSports merupakan satu hobi ataupun boleh dijadikan karier?

Mula-mula saya start main, tak sangka industri akan berkembang seperti hari ini. Mula-mula tu hanya sekadar passion untuk bola sepak. Tapi selepas main kompetitif untuk beberapa tahun, saya mula sedar ada potensi untuk industri ini. Pemain e-sukan boleh meraih sehingga jutaan ringgit setahun. 

MEMENANGI Kejohanan Rakan Muda FIFA 14. FOTO: Lucy

Ada ramai pemain profesional sepenuh masa di Malaysia bukan saja untuk FIFA tapi juga game lain. Jadi saya berharap akan ada lebih peluang dan penambahbaikan sebab kita sendiri tahu industri ini bukan semudah seperti disangkakan. Ia memerlukan masa, minat mendalam, usaha untuk kekal fokus.

Saya sangat gembira kerajaan Malaysia mula bagi perhatian pada perkembangan industri e-sukan seluruh negara. Dengan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Asia (2022) yang akan menyertakan acara eSport, pastinya kita perlukan sokongan itu. 

Penulis harap lebih ramai anak muda di utara tanah air mengikut jejak langkah Lucy dalam mendalami karier sebagai pemain game profesional. Kalah sekali tak bermakna kalah selamanya. Teruskan usaha!

You might also be interested in