Xbox Menyelar Tindakan Sony Tidak Membenarkan Cross-Play, Tidak Prihatin Kepada Pemain

Alangkah indahnya dunia jikalau kita dapat bermain game merentas ke semua platform game.

Antara sebab utama cross-play sangat digemari ramai pemain adalah pemain boleh berinteraksi lebih ramai pemain dari platform berbeza untuk satu game dalam masa yang sama. Lebih-lebih lagi, pemain tidak perlu berbelanja untuk game yang sama untuk platform berlainan.

Cross-play atau nama lain, cross-platform merupakan satu kaedah yang membenarkan pemain untuk bermain sesebuah game online dengan menggunakan platform game yang berlainan secara serentak. Kaedah cross-play ini diperkenalkan sejak semakin banyak game sekarang dilancarkan dengan ciri multiplayer seperti Overwatch, PUBG, Fortnite dan sebagainya.

Sejak Fortnite diumumkan untuk Nintendo Switch pada persidangan E3 2018, banyak pemain mengadu mereka tidak boleh mengakses akaun mereka di Switch. Apabila disiasat, rupa-rupanya Sony tidak mahu berkongsi pemain konsol mereka kepada pesaing-pesaing mereka.

Kalau korang teringin nak main Fortnite di Switch tetapi korang secara asalnya main untuk PS4, minta maaf. Login Failed.

Pemain yang bermain Fortnite menggunakan PS4 hanya boleh bermain di PC sahaja tetapi tidak boleh main Fortnite di Switch. Pengguna Xbox One tiada masalah limitasi lalu mereka boleh bermain Fortnite di Switch.

Ini mendatangkan kemarahan ramai pemain dan ramai tidak berpuas hati dengan keputusan Sony tidak menerapkan cross-play. Pemain menyuarakan kekecewaan mereka ke laman-laman sosial kerana mereka dihalang untuk menggunakan akaun sama di Switch dan memanggil syarikat Jepun sebagai “anti-pengguna” atau tidak mesra pengguna.

Malah, selang beberapa minggu semasa kontroversi ini masih hangat lagi diperkatakan, Xbox dan Nintendo mengeluarkan satu video  menampilkan permainan cross-play untuk konsol Xbox One dan Nintendo Switch bagi game sandbox building Minecraft sebagai satu tindak balas halus kepada Sony.

Bagi syarikat yang membina konsol PlayStation, Sony hanya beri respons tin kosong tanpa menyentuh hal sebenar. Memetik laporan BBC, Sony berkata mereka berjaya membina satu komuniti khas bagi pengguna PlayStation (melalui servis online PlayStation Network) iaitu membabitkan seramai 80 juta pemain aktif untuk main Fortnite dan game-game online lain.

Lebih memeranjatkan lagi, CEO Sony Kenichiro Yoshida mengeluarkan satu kenyataan berat sebelah tentang isu kontroversi ini. Apabila ditanyakan lebih lanjut tentang cross-play, Yoshida berkata dengan gamesindustry.biz, “Bagi pendapat saya, PlayStation adalah tempat terbaik untuk bermain game terutamanya Fortnite. Saya percaya pengguna PlayStation 4 mendapat pengalaman gaming terbaik.

“Sebelum ini, kami juga telah memberi laluan kepada beberapa game lain untuk cross-play bersama PC dan lain-lain. Oleh itu, kami yang akan beri kata putus bagi apa yang terbaik untuk pengalaman pengguna kami. Inilah pemikiran kami untuk cross-play.”

Tindakan Sony menolak keras elemen cross-play adalah kemungkinan besar untuk mempertahankan jutaan pengguna tetap PlayStation dan sekaligus memberikan kelebihan besar kepada Sony. Kelebihan besar ini berguna bagi Sony dari segi bisnes tetapi bukan untuk kebebasan pengguna.

Naib presiden korporat Xbox, Mike Ybarra membalas kenyataan Sony melalui laman Twitter beliau. Ybarra menegaskan, “(Sony) masih lagi tidak mendengar rintihan pemain. Semua game sepatutnya ada cross-play dan memberikan progression sesuai bergantung kepada pilihan pemain.”

Tetapi komen Ybarra seterusnya yang menusuk kalbu. Beliau berkata, “Gaming ini sangat meluas. Kalau kamu hanya memberi kegembiraan untuk segelintir audiens sahaja, maka kamu banyak ketinggalan dalam banyak, banyak perkara.” Ouch.

Berbeza dengan Sony, dua syarikat gaming gergasi, Xbox dan Nintendo sudah lama menyokong elemen cross-play dan mewujudkan atmosfera cross-play dalam game online seperti game gabungan racing dan bola sepak, Rocket League.

Baru-baru ini, pengarah Bethesda Game Studios, Todd Howard merancang untuk meletakkan sokongan cross-play untuk game terbaru mereka yang sepenuhnya online berjudul Fallout 76. Oleh kerana keputusan Sony berdegil tidak membenarkan cross-play di PlayStation, Howard terpaksa gugurkan elemen cross-play untuk Fallout 76.

Tanpa ciri cross-play penuh dan fleksibel yang merangkumi segala jenis konsol dan peranti, hal ini bukan sahaja menghalang kebebesan pemain, malah menyukarkan game developer yang terpaksa bekerja keras untuk melalui proses memakan masa bagi menyediakan game sama untuk pelbagai platform.

RELATED NEWS

+