Sony Lancar PlayStation Productions Untuk Adaptasi Game Eksklusif PlayStation Ke Filem & TV

Mungkin kita bakal menerima adaptasi filem atau siri TV video game yang bagus?

Sony Interactive Entertainment (SIE) mengumumkan studio produksi, PlayStation Productions yang mana diberi tugas untuk menghasilkan produksi filem dan televisyen berdasarkan lebih daripada 100 judul khas untuk PlayStation.

PlayStation Productions dikepalai oleh Asad Qizilbash dan dipantau oleh CEO SIE, Shawn Layden. Menurut The Hollywood Reporter, studio ini telah menjalankan beberapa projek bersama Sony Pictures bagi membantu pemasaran filem dan television.

Dapat pengaruh daripada Marvel Studios

Perubahan Marvel daripada syarikat komik hampir bankrap sehingga mampu menghasilkan filem-filem blockbuster menjadi dorongan untuk Asad. “Sepanjang dua tahun lalu, saya banyak menghabiskan masa cuba memahami industri, bercakap kepada penulis, pengarah dan penerbit. Kami juga merujuk kepada Lorenzo di Bonaventura (penerbit siri Transformers) dan Kevin Feige (presiden Marvel Studios) untuk dapat pemahaman industri perfileman dan TV,” kata Asad.

Shawn berkata, “Kami telah lihat bagaimana Marvel mengubah landskap komik dan ubah ia menjadi perkara terbesar dalam dunia perfileman. Ini adalah cita-cita tinggi yang sukar dicapai untuk mengikut langkah mereka tetapi kami mendapat inspirasi daripada mereka.”

Tambahan pula, pasaran filem Hollywood juga telah berubah dalam jangka masa 20 tahun dahulu. Kini, ramai pengarah dan penerbit adalah gamer dan faham akan isi penting dalam game yang ingin diadaptasikan.

Selain itu, PlayStation Productions juga menjejak langkah Ubisoft dan Activision masing-masing membuka studio produksi filem dan TV mereka tersendiri. Namun, filem Assassin’s Creed di bawah Ubisoft Motion Studios dan Warcraft dikelola oleh Activision Blizzard Studios kurang menyengat dalam kutipan box office.

PlayStation Productions urus kualiti kandungan sepenuhnya

Siri Uncharted

Memang tidak dinafikan game eksklusif PlayStation seperti Uncharted, God of War, The Last of Us, Ratchet & Clank berjaya menjual banyak unit dan kaya dengan penceritaan tersendiri. Ini adalah fokus utama yang menjadi kebanggaan PlayStation Productions.

Shawn berkata, “Kami mahu memberi peluang kepada peminat game ini untuk mengenali francais game secara lebih dekat. Apabila peminat telah berjaya menghabiskan game selama 40-50 jam dan harus tunggu selama 3 tahun untuk sekuel, kami mahu memberikan mereka pengalaman mendalam dan lihat evolusi karakter kegemaran mereka.”

Beliau juga sedar atas cabaran besar untuk menterjemahkan kandungan game ke dalam filem dan TV. “Cabaran terbesar adalah, macam mana anda ambil game mengambil masa 80 jam untuk main kepada sebuah filem. Jawapannya adalah, anda tidak berbuat demikian. Apa yang anda boleh buat adalah hasilkan filem mengikut audiens filem. Anda tidak perlu cuba memberitahu seluruh game dalam sebuah filem,” kata Shawn.

Baca lanjut: Pengarah 10 Cloverfield Lane Akan Mengarah Filem Uncharted Dibintangi Tom Holland

Apabila disoal tentang format mana yang difokuskan terlebih dahulu sama ada filem atau TV, Asad berkata ia bergantung kepada game itu sendiri. Walaubagaimanapun, kualiti amat dipentingkan dalam sesebuah projek adaptasi seperti ditekankan oleh Shawn.

Kerjasama dengan Sony Pictures mengalu-alukan PlayStation Productions untuk mengambil kira kualiti filem dan TV yang benar-benar menghormati sumber game asal. Lebih-lebih lagi, studio ini memegang kawalan penuh terhadap kandungan-kandungan ini. “Melalui proses ini, kami boleh kawal dan urus proses untuk dapatkan pengarah, penulis skrip dan pelakon-pelakon yang sesuai,” kata Asad.

Dalam banyak-banyak francais PlayStation eksklusif, game mana yang korang berharap sangat akan hadir ke layar perak atau ke kaca televisyen? Kongsikan pendapat bersama kami di Facebook.

RELATED NEWS

+