[Review] Samsung Galaxy S21 Ultra 5G – Flagship terbaik?

Ibarat memegang emas. Itulah perasaan penulis setiap kali menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy S21 Ultra 5G. Walaupun reka bentuknya agak ringkas, ia sememangnya mempunyai aura sebuah telefon pintar andalan.

Penulis baru-baru ini diberikan peluang oleh Samsung untuk mengulas telefon pintar tersebut. Ia kini telah dilancarkan di pasaran Malaysia dan terdapat beberapa model berbeza dalam keluarga produk Samsung Galaxy S21. Model S21 Ultra 5G merupakan model paling premium.

Sebelum penulis memberi pendapat tentang telefon yang hebat ini, mari kita lihat dahulu spesififkasinya:

  • Paparan: AMOLED Dinamik 2X, 6.8 inci, resolusi 1440 x 3200, 120Hz, HDR10+
  • CPU: Exynos 2100
  • OS: One UI 3.1, Android 11
  • GPU: Mali-G78 MP14
  • RAM: 12GB / 16GB
  • Storan: 128GB / 256GB / 512GB
  • Bateri: 5,000 mAh, pengecasan pantas 25W, pengecasan pantas nirwayar 15W, pengecasan pertanti lain secara nirwayar 4.5W 
  • Kamera: Tetapan empat kamera yang mengandungi 108MP (luas) + 10MP (periscope telephoto, 10x optical zoom) + 10MP (telefoto) + 12MP (ultra-luas); Kamera depan: 40MP (luas)
  • Sambungan: USB Type-C 3.2

Berat mata memandang, berat lagi dompet berbelanja

Seperti kebanyakan telefon andalan di luar sana, Samsung Galaxy S21 Ultra 5G ditujukan kepada golongan yang ingin mendapatkan pengalaman penggunaan telefon pintar yang terbaik di pasaran. Harga telefon ini bermula dari RM5,299.

Samsung sememangnya terkenal dengan paparan buatan mereka yang selalunya menerima ulasan positif daripada para pengguna. Perkara ini kekal benar dalam rekaan Samsung Galaxy S21 Ultra 5G.

Apabila bermain apa-apa permainan video mudah alih, lebih banyak perkara dapat dilihat kerana skrin telefon ini bersaiz besar. Teknologi AMOLED Dinamik membantu untuk menjadikan setiap imej dan video nampak jelas dan cantik.

Pengalaman menonton kandungan di Netflix dan YouTube sangat memuaskan. Resolusi telefon ini membolehkan tontonan kandungan 1440p di YouTube dan kandungan HDR di Netflix. Pembesar suara kekal jelas walaupun ditetapkan pada tahap tertinggi.

Tidak ada apa-apa yang menarik tentang penampilan telefon ini tetapi ia mempunyai dua kelemahan. Pertama, ia mempunyai bonggol kamera yang sangat besar. Jika tidak dijaga dengan betul, kamera belakang mudah tercalar.

Kelemahan kedua pula ialah keberatan. Menurut GSMArena, telefon ini beratnya 227g. Apabila menggunakannya pada tempoh yang panjang, memang terasa sedikit meletihkan. 

 

Panas apabila bermain Genshin Impact

Untuk permainan-permainan MOBA seperti Wild Rift dan MLBB, permainan dapat dinikmati dengan sangat lancar pada tetapan grafik tertinggi. Sambungan internet melalui Wi-Fi kekal stabil dan pantas dari mula hingga akhir.

Para peminat CODM dan PUBG Mobile akan menyukai skrin besar telefon ini. Ia memberikan kita penglihatan yang lebih luas dan memudahkan kita untuk melihat musuh-musuh di kawasan sekeliling. Malangnya, telefon ini tidak mempunyai bicu fon telinga. Oleh itu, anda perlu menggunakan fon telinga nirwayar atau penyambung 3.5mm ke USB Type-C.

Permainan-permainan berat seperti Black Desert Mobile dan Genshin Impact boleh dimain pada tetapan grafik tertinggi dan kadar bingkai 60FPS. Walaubagaimanapun, telefon ini menjadi agak panas apabila bermain Genshin Impact. Masalah ini masih berlaku apabila tetapan grafik diturunkan ke “Medium”.

Ada kemungkinan isu ini tidak muncul di semua model Samsung Galaxy S21. Menurut beberapa orang rakan-rakan penulis yang juga mengulas telefon ini, mereka tidak menghadapi masalah penjanaan haba yang melampau ketika bermain Genshin Impact pada mana-mana tetapan grafik.

Kadar segar semula 120Hz diuji melalui permainan Injustice 2 dan Relic Run. Kedua-duanya boleh dimain dengan lancar tetapi pada pemerhatian penulis, Injustice 2 tidak mencapai 120FPS. Mungkin terdapat isu teknikal kerana telefon pintar ini sepatutnya memang boleh main permainan tersebut pada kadar bingkai tinggi.

Jelas sekali Samsung Galaxy S21 Ultra 5G boleh digunakan untuk bermain hampir semua permainan mudah alih pada tetapan grafik tertinggi dan kekal lancar. Cuma penulis rasa faktor berat harus dipertimbangkan sebelum membeli telefon ini kerana tangan terasa agak lenguh selepas bermain selama dua jam berturut-turut.

Dari segi prestasi bateri pula, telefon ini langsung tidak mengecewakan. Ia dapat digunakan selama hampir 11 jam selepas dicaj sehingga penuh. Dalam tempoh tersebut, penulis menggunakannya untuk bermain permainan video, menonton YouTube, dan menggunakan aplikasi media sosial.

Penulis ingin meminta maaf kerana tidak dapat menguji teknologi pengecasan pantas telefon ini. Samsung tidak membekalkan pengecas dalam kotak fon ini. Anda perlu membelinya secara berasingan. Wayar pengecasan yang dibekalkan pula menggunakan rekaan yang jarang diguna iaitu USB Type-C ke USB Type-C. 

 

Berbaloi jika mampu

Tidak dapat dinafikan bahawa Samsung Galaxy S21 Ultra 5G ialah telefon pintar yang hebat. Ia mempunyai paparan yang boleh dikatakan sempurna dan semua kamera dapat mengambil gambar dan merakam video pada kualiti yang sangat tinggi.

Kebolehannya untuk menangani semua permainan video mudah alih popular menjadikannya pilihan yang sesuai untuk golongan yang gemar bermain permainan video. Baterinya tahan lama dan mempunyai teknologi pengecasan pantas (pengecaj dijual berasingan).

Penulis tidak mengesyorkan telefon ini kepada mereka yang memberi fokus terhadap permainan video. Terdapat banyak lagi telefon pintar di luar sana yang jauh lebih murah tetapi mampu memberikan pengalaman permainan yang sangat memuaskan.

Jika anda mencari telefon pintar berkuasa yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, Samsung Galaxy S21 Ultra 5G ialah satu pilihan yang patut dipertimbangkan. Anda boleh menempah telefon ini melalui laman rasmi Samsung.

 

Kelebihan:

  • Paparan AMOLED yang sangat cantik dan jelas
  • Pembesar suara yang berkualiti tinggi
  • Boleh digunakan untuk main apa-apa sahaja permainan
  • Bateri tahan lama

Kekurangan:

  • Berat, terasa lenguh apabila digunakan pada tempoh panjang
  • Tiada pengecas dibekalkan
  • Tiada bicu fon telinga
  • Harga yang agak mahal

RELATED NEWS

+