[Review] Lenovo Legion Phone Duel – dua kali ganda keseronokan

Unit ulasan disediakan oleh Lenovo Legion Malaysia.

Makin hari makin banyak telefon pintar gaming dilancarkan. Pada tahun ini, kita telah melihat produk-produk hebat seperti Asus ROG Phone 3 dan Black Shark 3 Pro. Kini Lenovo Legion pula memulakan langkah mereka dalam arena ini.

Baru-baru ini, Lenovo melancarkan telefon pintar gaming pertama mereka Lenovo Legion Phone Duel. Ia kini telah dilancarkan di banyak negara termasuk Malaysia. Antara keunikan telefon pintar ini ialah ia mempunyai dua bateri yang boleh dicaj pada waktu yang sama dan banyak lagi ciri-ciri berpasangan atau “dual”.

Dalam masa beberapa hari menggunakan telefon pintar ini, penulis memastikan ia diuji dengan pelbagai permainan mudah alih yang popular di Malaysia dan juga mencuba ciri-ciri lain seperti kameranya dan pengalaman tontonan video.

Adakah ini raja telefon pintar gaming terbaru? Jom baca ulasan ini untuk mengetahui jawapanannya!

 

Bergaya di luar, berkuasa di dalam

Pandangan pertama pada Lenovo Legion Phone Duel sudah mencukupi untuk memahami bahawa ia memang sebuah telefon pintar gaming. Logo bintang berkaki tiga Legion yang dinyalakan dengan cahaya RGB bersama tulisan LEGION memang menonjolkan estetik gaming.

Untuk memastikan bahagian belakang dapat dijaga dengan baik, Lenovo membekalkan sebuah bekas belakang yang dibuat dengan plastik keras. Penempatan kamera belakang di bahagian tengah serta kewujudan port USB kedua di bahagian tepi telefon ini bermaksud pilihan bekas untuk telefon ini semestinya sangat terhad.

Telefon ini menggunakan paparan AMOLED FHD+ (1080 x 2340) dengan kadar segar semula 144Hz. Dalam keadaan di mana anda mahu menjimat bateri, kadar segar semula boleh diubah kepada nilai-nilai yang lebih rendah seperti 120Hz, 90Hz, dan 60Hz. Skrin ini juga hadir bersama HDR10+ yang boleh tonton video YouTube HDR.

Pengalaman menonton kandungan di YouTube dan Netflix sangat memuaskan dengan skrin ini. Ia mencapai tahap kecerahan yang tinggi dan mempamerkan kualiti warna yang jelas.

Model yang penulis cuba dipasang dengan pemproses Snapdragon 865+, RAM 12GB, dan storan bersaiz 256GB. Satu lagi model yang dijual mempunyai RAM 16GB dan storan 512GB. Anda boleh membiarkan banyak aplikasi dibuka pada waktu yang sama dan pergi dari satu aplikasi ke aplikasi lain tanpa sedikit pun keperlahanan.

Penggunaan skrin berbahagi (split screen) juga disokong. Ya, anda boleh main permainan sambil melakukan perkara-perkara lain seperti menonton siaran langsung streamer kegemaran anda atau menggunakan aplikasi sosial media.

Memang tidak selesa untuk main sebegini tetapi penulis hanya ingin berkongsi ia memang boleh dilakukan jika anda mahu melakukannya.

 

Genshin Impact? Black Desert Mobile? Semua boleh!

Seperti kebanyakan telefon pintar gaming di luar sana, Lenovo Legion Phone Duel boleh “tapau” semua permainan video mudah alih popular. Semua permainan popular termasuk Genshin Impact, Black Desert Mobile, League of Legends: Wild Rift, PUBG Mobile, dan banyak lagi boleh dimain pada tetapan tertinggi.

Tetapan kadar segar semula 144Hz menjadi salah satu kelebihan utama telefon pintar ini. Beberapa permainan video seperti Injustice 2 dan Marvel Contest of Champions dapat menggunakan tetapan ini untuk mewujudkan pengalaman permainan yang sangat lancar. Ia ibarat bermain di sebuah gaming PC yang berkuasa.

Satu ciri yang juga terdapat pada banyak telefon pintar gaming adalah air triggers yang diletakkan pada bahagian atas kiri dan atas kanan telefon. Kedua-duanya boleh ditetapkan untuk fungsi-fungsi tertentu mengikut permainan video.

Telefon ini juga dipasang dengan air triggers dan mereka befungsi dengan baik. Penggunaan air triggers sangat memudahkan permainan untuk CODM dan PUBG Mobile. Anda boleh menetapkan tahap tekanan yang diperlukan untuk menggunakan air triggers tersebut.

Apa bila bercakap tentang telefon pintar gaming, pengurusan haba sentiasa menjadi topik hangat. Hal ini demikian kerana kuasa yang tinggi dalam apa-apa peranti elektronik memerlukan penyejukan yang tinggi juga.

Lenovo Legion menjanjikan teknologi pengurusan haba dalam Lenovo Legion Phone Duel sangat berkesan dalam memastikan telefon ini tidak rasa panas semasa bermain dan penulis mengesyorkan mereka menepati janji ini.

Hampir tiada haba dapat dirasakan di tangan walaupun bermain pada tempoh yang panjang (tiga hingga empat jam). Hanya terdapat dua keadaan di mana penulis merasakan sedikit panas iaitu ketika bermain sambil mengecas dan apabila mengaktifkan Rampage Mode.

Rampage Mode ialah tetapan istimewa yang melakukan overclock pada CPU dan GPU telefon ini. Ia memberikan kuasa pemprosesan yang lebih banyak apabila ia diperlukan. Dalam pengalaman penggunaan penulis, tiada satu pun permainan termasuk Black Desert Mobile pada tetapan tertinggi, memerlukan Rampage Mode.

Mungkin ia berguna apabila anda ingin multi-task seperti main Genshin Impact dan tonton video YouTube yang membantu anda menyelesaikan quest tertentu. Satu eksperimen yang dilakukan oleh penulis ialah menonton livestream sambil main CODM. Dalam keadaan tersebut, semuanya berjalan lancar tanpa Rampage Mode.

 

Antara pembesar suara telefon pintar terbaik

Salah satu perkara yang penulis tidak gemar pada kebanyakan telefon pintar ialah pembesar suara yang diletakkan di bahagian bawah (berdekatan port USB). Rekaan sebegini menyebabkan suara dihalang oleh tangan pengguna apabila menonton video dan main permainan video.

Kelemahan ini tidak wujud langsung di Lenovo Legion Phone Duel. Anda boleh menikmati semua audio pada kualiti tertinggi kerana ia dipasang dengan dua pembesar suara yang menghadap ke depan (arah pengguna).

Kedua-dua pembesar suara ini dapat mencapai tahap yang sangat tinggi. Pada pendapat penulis ia boleh dibandingkan dengan kekuatan suara yang dihasilkan oleh sebuah pembesar suara Bluetooth kecil.

Tidak kira sama ada anda ingin menggunakan telefon ini untuk tonton kandungan, dengar muzik, atau main permainan video, semuanya boleh dilakukan bersama kualiti audio yang mengagumkan.

Satu lagi perkara yang patut dinyatakan tentang telefon ini ialah ia tidak mempunyai sebuah bicu fon telinga tetapi jangan risau kerana semua pembeli telefon ini akan menerima sebuah USB Type C-to-3.5mm adapter yang membolehkan sambungan fon telinga berwayar.

 

Dua bateri dan pengecasan pantas dua kali ganda lebih pantas

Lenovo Legion Phone Duel dipasang dengan bateri berkapasiti 5,000mAh tetapi ia sebenarnya dua bateri berbeza yang masing-masing berkapasiti 2,500mAh. Lenovo menyatakan ini bukan sahaja membantu untuk meningkatkan ketahanan bateri tetapi juga untuk memperbaiki pengurusan haba.

Selepas mengecas bateri sepenuhya dan menetapkan kadar segar semula ke 144Hz, penulis memperoleh waktu penggunaan selama lebih kurang tujuh jam sebelum ia mencapai 25%. Penggunaan ini termasuk permainan, tontonan video, dan penggunaan kamera.

Ciri yang paling hebat tentang bateri telefon ini ialah pengecasannya. Dalam kotak telefon ini, ia hadir bersama dua wayar USB-C dan sebuah charger yang mempunyai dua sambungan USB-C. Ya betul, telefon ini boleh dicaj dengan dua wayar USB-C pada waktu yang sama dan ini akan mengaktifkan 90W Turbo Charging.

Dengan menggunakan Turbo Charging, penulis dapat mengecas telefon ini dari 1% hingga 100% dalam masa lebih kurang setengah jam sahaja. Ada satu ketika di mana penulis mengecasnya pada tahap 50% sebelum makan petang. Selepas habis menjamu selera, ia sudah mencapai 100%. Sangat pantas!

 

Ada kamera untuk livestream

Mereka yang membeli telefon pintar gaming selalunya tidak mengharapkan kualiti kamera setanding telefon pintar mercu lain seperti Samsung Galaxy Note 20 atau iPhone 12. Dalam hal ini, Lenovo lebih mementingkan streaming dan bukan fotografi.

Tidak seperti kebanyakan telefon pintar di luar sana, Lenovo Legion Phone Duel tidak mempunyai potongan kamera hadapan di skrinnya. Kamera hadapannya sebenarnya disembunyikan di bawah butang kuasa di sebelah kanan.

Dengan menggunakan aplikasi Lenovo Realm, anda boleh mengaktifkan kamera hadapan untuk paparkan wajah anda semasa bermain. Ini merupakan satu rekaan yang sangat bagus untuk mereka yang ingin menjadi streamer permainan mudah alih tetapi tidak mempunyai webcam.

Selain daripada mempunyai beberapa filter menarik, anda juga boleh mengasingkan latar belakang anda ibarat menggunakan sebuah skrin hijau. Penulis sangat kagum dengan ciri ini dan harap lebih banyak pengeluar telefon pintar gaming akan terus memperkenalkan inovasi menarik seperti ini.

 

Pesaing hebat dalam arena telefon pintar gaming

Dalam beberapa hari mencuba telefon ini, penulis berasa sangat puas hati dan sedikit sedih kerana terpaksa berpisah dengannya. Ia merupakan sebuah telefon pintar yang hampir sempurna.

Bagi anda yang sedang mencari sebuah telefon pintar gaming, pastikan anda beri perhatian kepada Lenovo Legion Phone Duel. Walaupun ia adalah telefon pintar gaming pertama daripada syarikat tersebut, ia mempunyai banyak ciri-ciri hebat seperti paparan cantik, audio berkualiti tinggi, dan pengecasan pantas yang sangat laju.

Lenovo Legion Phone Duel dijual pada harga RM3,399 (12GB/256GB) dan RM3,999 (16GB/512GB).

 

Kekuatan:

  • Skrin cantik, jelas, dan lancar
  • Kekuatan dan kualiti audio hebat
  • Boleh “tapau” semua permainan video mudah alih
  • Antara pengecasan pantas terbaik dalam pasaran telefon pintar

Kelemahan:

  • Kualiti kamera biasa-biasa sahaja
  • Sedikit berat berbanding telefon pintar lain

RELATED NEWS

+