PUBG: Team Gaventure Bersedia Harum Nama Negara Di Kejohanan Lenovo Legion of Champions IV, Bangkok, Thailand

“Kami berlatih selama enam hingga lapan jam sehari untuk sampai ke tahap ini (layak ke Grand Final Lenovo Legion of Champions IV),” itu kata ringkas Churchill Ensir Anak Tampler Salang, kapten kepada pasukan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Malaysia, Team Gaventure.

Dari kiri: Erlangga Ahmad Gani, Aidil Adha Azizul Rozany, Hannan Hamzah Abdullah dan Churchill Ensir Anak Tampler Salang. Mereka akan berentap pada 13 hingga 15 November ini di Bangkok, Thailand.

“Kami sentiasa memotivasikan diri masing-masing kerana ini adalah impian kami (harum nama negara) di arena PUBG luar negara,” kata Gaventure. Mereka adalah satu-satunya wakil negara yang akan ke Grand Final kejohanan berprestij itu bersama 11 lagi pasukan dari negara berbeza.

Ditanya strategi apa yang digunakan untuk memenangi perlawanan akan datang ini, Aidil mengatakan yang paling penting adalah komunikasi antara pasukan.

“Kami tak ada strategi yang pelbagai. Cukuplah dengan berkomunikasi bersama setiap ahli. Keakraban kami sebagai kawan rapat juga turut membantu.

“Semestinya yang paling utama ialah have fun dan enjoy setiap perlawanan yang dimainkan,”

Lenovo Legion of Champions IV adalah acara e-sukan berprestij dianjurkan pada peringkat Asia Pasifik. Sebelum ini, Team Gaventure berentap bersama 15 pasukan lain di pusingan kelayakan Malaysia pada 9 dan 10 November lepas.

Bagi Team Gaventure, mereka menganggap kejohanan Legion of Champions IV ini sebagai platform untuk bertanding secara profesional bersama pemain-pemain PUBG di serata Asia Pasifik.

“Kami berlatih dan bersedia untuk hadapi kejohanan ini dengan memperbanyakkan scrims dan mempelajari taktik pasukan lain yang mungkin kami akan lawan.

“Matlamat kami juga adalah mencari pengalaman bermain bersama pasukan negara lain. Kami sasar untuk jadi pasukan terbaik,”

Team Gaventure akan bertarung untuk merebut hadiah terkumpul AS$16,200 dan laptop Legion bernilai AS$1,500. Maklumat lanjut boleh didapati di https://legion.lenovo.com/loc2019/loc

 

Temubual bersama Team B.A.E Sphynx

Bagi Team Bae.Sphynx pula, biarpun memperoleh gelaran naib juara di Kejohanan Legion of Valkyries peringkat Asia Tenggara baru-baru ini, mereka berkongsi pengalaman sebagai pasukan CS:GO wanita negara.

MyGameOn: Sebagai pemain profesional CS:GO, apa nasihat anda kepada pemain-pemain muda di luar sana?

B.A.E Sphynx: Jangan mengaku kalah. Kalau anda dah ada matlamat nak jadi terbaik, kena berlatih untuk capai sasaran itu. Setiap pasukan terhebat tidak meraih pencapaian dalam masa sehari. Ia perlukan masa dan banyak pengorbanan. Bertanding sekerap mungkin dalam pertandingan contohnya seperti LOV kerana ia membantu gilap bakat anda.

MyGameOn: Apa yang anda rasakan tentang arena CS:GO di Malaysia?

B.A.E Sphynx: Saya rasakan ia berkembang pesat dan kami bersyukur menjadi sebahagian daripadanya. Sebelum ini hanya ada pertandingan terbuka dan makin lama, lebih banyak pertandingan untuk wanita. Ia menggalakkan wanita untuk mempunyai tempat dalam industri e-sukan ini.

MyGameOn: Semasa anda semua menyertai banyak peringkat dalam pertandingan, adakah strategi digunakan berubah apabila berlawan pasukan berlainan?

B.A.E Sphynx: Ya, kami mempunyai perubahan dalam lineup dan banyak perubahan perlu dibuat dalam masa singkat. Kami ingin menang segera tapi bukan itu caranya. Ia perlukan masa untuk jadi yang terbaik. Setiap pasukan ada cara permainan tersendiri dan sebab itulah kami scrim ke atas pasukan Asia lain.

MyGameOn: Sebagai pasukan terdiri daripada kesemuanya wanita, apa pandangan anda tentang LOV? Apa pengalaman paling menarik?

B.A.E Sphynx: Kejohanan ini berikan peluang kepada kami untuk cuba yang terbaik. Mungkin kami di tempat kedua tapi itu tak bermaksudnya kami akan mengalah. Kami akan terus berlatih dan bersedia dengan kejohanan akan datang.

Ahli pasukan Battle Arena Elites Sphynx (B.A.E Sphynx):

  • Nurul “Ayumiii” Aini
  • Aisya “Argent” Sabrina
  • Shanice “Alaska” Choo
  • Jasmine Christina “Jazminism” Sim
  • Ng “maye” May Yee
  • Iffah “3ve;” Nazurah
  • Narinpal “Fluckz” Singh – Jurulatih

Maklumat lanjut boleh didapati di https://legion.lenovo.com/loc2019/lov

RELATED NEWS

+