PUBG Mobile: “Saya Anggap Ia Satu Cabaran Untuk Berjaya” – Nurul Shahirah

Menjadi satu-satunya perempuan dalam pasukan bukanlah penghalang untuk Nurul Shahirah Mohd Zaki, 19 membawa pasukannya, IIUM Mustang meraih gelaran naib juara dalam kategori PUBG Mobile Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 2 Zon Tengah sebentar tadi.

Dia bersama ahli skuadnya, Mohamad Shah Syazwan Zaili, Muhammad Azri Mahdi dan Muhammad Hisyamuddin Mohd Rasidi Al Munir bermain sejak semalam di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam selepas layak ke zon final menerusi pusingan kelayakan dan berjaya memperoleh 215 mata dalam kejohanan itu.

Ketika ditemui penulis selepas majlis penyampaian hadiah, Shahirah yang juga penuntut jurusan kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, dia tak menganggap faktor jantina sebagai penghalang untuk bergelar naib juara. 

“Mesti la ada rasa sedikit tertekan sebagai satu-satunya perempuan dalam pasukan tapi saya anggap ia satu cabaran untuk berjaya.

“Apa yang saya amal ialah kuatkan mental dan fikir kita semua sama, tiada perbezaan dalam kemahiran dan paling penting adalah perlu bijak mengawal emosi,” katanya.

Selain bergelar pelajar, Shahirah juga adalah ahli kumpulan N.E.D Esports bagi divisi wanita. Katanya, kejohanan peringkat universiti seperti #XPAXKEK mampu beri ruang kepada siswa dan siswi bertanding selain bertemu lebih ramai kenalan.

“Saya rasa ia bagus untuk pupuk semangat kesukanan selain merapatkan silaturahim. Saya banyak kenal senior yang boleh bantu dalam pelajaran.

“Pasukan ini pun baru saja ditubuhkan tapi kami tetapkan semangat untuk menang dan berlatih cukup-cukup sebelum bertanding,” katanya.

Kata Shahirah, dia merasakan rutin sebagai pemain kompetitif tidak mengganggu kehidupannya sebagai seorang pelajar universiti.

“Kalau hari biasa, saya akan fokus pada pelajaran, siapkan assingment dan ulangkaji.

“Pada hari minggu (kalau ada pertandingan), saya akan peruntukkan masa sedikit untuk berlatih bersama kawan-kawan. Tak mudah tapi bukan mustahil,” katanya.

Tambahnya lagi, dia banyak mempelajari perkara baru sewaktu bergelar pemain kompetitif. 

“Saya menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Permainan ini juga mengajar saya untuk mendengar arahan dan bagi pendapat,” katanya.

Nasihatnya kepada siswi di luar sana yang ingin berkecimpung dalam bidang e-sukan, jangan putus harapan dan cuba dulu untuk main dengan betul-betul.

“Kalau dulu orang tak pandang (perempuan sertai pertandingan) tapi zaman kini berubah.

“Yang penting kena pandai bahagi masa dan tetapkan jadual sendiri,” jelasnya.

IIUM Mustang bersama tiga lagi skuad, MSU | KUDA  dari Management And Science University, BRUTAL SQUAD dari Kolej Vokasional Kajang dan MADNESS ESPORTS UKM dari Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing layak ke Grand Final Celcom XPAXKEK Semester 2 yang akan berlangsung di The Curve, Kuala Lumpur pada akhir November nanti.

RELATED NEWS

+