Peminat rindukan Branz, Rippo di MSC 2021

Netizen Indonesia nyata merindui persembahan dari Jabran Bagus Wiloko (Branz) dan Muhammad Arif Abdul Halim (Rippo) di Piala Asia Tenggara MLBB (MSC 2021) selepas pasukan itu mempamerkan prestasi kurang memuaskan pada hari ini dan semalam.

Branz yang pernah terpalit kontroversi dalam sebuah video viral sebelum ini tidak dibenarkan main di mana-mana kejohanan Mobile Legends selama sebulan termasuklah MSC 2021. Kehilangan Branz memberi kesan kepada prestasi Bigetron Alpha. 

Walaupun digantikan Maxx tapi pemain kembar itu nyata tidak selincah dan serasi bersama pasukan sepertimana ditunjukkan Branz di MPL.

Bagi pemain kelahiran Malaysia, Rippo pula masih tidak diturunkan untuk bermain setakat dua set perlawanan.

Dalam perlawanan ke atas wakil Filipina, Blacklist International semalam, BTR Alpha tewas 0-2 dan hari ini 1-2 di tangan Impunity KH dari Kemboja.

Di ruangan komen di Youtube boleh dilihat rata-rata peminat merindui ‘Lord Branz’ dan hairan kenapa BTR tidak menurunkan Rippo walaupun beliau didaftar sebagai pemain.

Peringkat kumpulan MSC 2021 hanya tinggal sehari lagi iaitu esok menjadi penentuan siapa layak ke playoffs.

MSC 2021 bermula pada 7 Jun hingga 13 Jun ini, mengumpulkan hadiah terkumpul AS$150,000 (RM615,700) yang akan direbut 12 pasukan dari lapan negara.

Saksikan siaran langsung di Facebook dan Youtube.

RELATED NEWS

+