PEI 2021: “Kami sudah bersedia,” – Dingoz MPX

Kuala Lumpur: “Kami sudah membuat persediaan dan latihan selepas dinobatkan menjadi juara liga PMPL MYSG S3 dan mengesahkan slot di Peace Elite Asia Invitational (PEI 2021).

“Kami bermula latihan pada jam 3 petang sehingga tengah malam. Pada sesi petang, kami berlatih di dalam mod FPP. Kami berlatih dengan scrim bersama pasukan luar negara di dalam mod FPP.

“Di sesi malam kami ada latihan khas untuk mod FPP ataupun kami selang selikan dgn mod latihan TPP untuk Grand Final PMPL MYSG nanti,” itu kata Pengurus Pasukan Dingoz MPX, Ridhwan Idris.

Dingoz diwakili oleh Rith, Eypul, Iron Pro, Pemburu dan Appy.

Ketika dihubungi MyGameOn, Ridhwan atau Jok3r berkata, mereka juga sudah siap sedia dengan analisis mengenai rotasi pasukan.

“Tugas itu disandang oleh Pashaaa iaitu jurulatih kami. Kesemua taktikal dan corak permainan semua dirancang dengan teliti oleh beliau. Hampir setiap malam beliau dan pemain akan duduk untuk melihat kesalahan dan apa perlu diperbaiki setelah habis latihan dan scrim.

“Kejohanan Asia Tenggara adalah matlamat kami di tahun ini. Alhamdulillah kami berjaya untuk mencapai sasaran.

“Perasaan pemain-pemain nampak teruja dan bersemangat kerana mereka membawa nama Malaysia ke pentas Asia dan Insyallah ke dunia pada hujung tahun nanti,” katanya.

Dingoz MPX sebelum ini menjadi juara liga PMPL MYSG S3 selepas meraih tempat pertama dengan perbezaan hanya enam mata dengan Team Secret.

Kedua-dua pasukan teratas ini kemudiannya dijemput menyertai kejohanan Peace Elite Asia Invitational (PEI 2021).

Kejohanan tersebut adalah untuk permainan Game For Peace iaitu PUBG Mobile versi China.

Mereka akan berdepan dengan pasukan hebat lain iaitu tuan rumah, Weibo Gaming dan RNG. Malah, dua skuad hebat Indonesia, BTR RA dan Geek Fam ID juga menyertai.

 

Ketika artikel ini ditulis, pasukan Wild Card masih belum ditemui begitu juga dengan wakil Jepun dan Korea.

PEI 2021 akan berlangsung dalam talian pada 27 hingga 29 April ini.

Foto: Warga J

RELATED NEWS

+