“Ini adalah PMPL terakhir saya,” – ChuChu ingin kembali ke bidang perubatan

Andriyana Mohamed Ghazali atau lebih dikenali sebagai ChuChu bukanlah individu yang asing dalam industri e-sukan tempatan.

Antara yang dijulang sebagai pengulas tersohor e-sukan terutamanya PUBG Mobile di peringkat tempatan dan antarabangsa, wanita lulusan bidang perubatan di Universiti Mansoura, Mesir ini sememangnya memiliki minat yang mendalam untuk e-sukan.

Namun, siapa sangka, sesudah beberapa lama dalam industri, ChuChu membuat keputusan untuk kembali menjadi pegawai perubatan. Menerusi perkongsian di laman sosial, beliau mengakui ingin terus berjasa untuk negara.

Malah, dalam kenyataan penuh di Facebook, ChuChu ingin berkhidmat secepat mungkin dan mempersiapkan diri terutamanya ketika kes COVID-19 kini meningkat.

“PMPL Asia Tenggara musim ketiga adalah PMPL terakhir atau mana-mana pengulasan liga.

“Saya akan kembali ke bidang perubatan sebagai doktor dan akan bergiat dalam e-sukan secara separuh masa jadi saya mungkin tak mampu ulas kejohanan jangka panjang (seperti liga),” tulisnya di Instagram peribadi.

Menurut wanita kelahiran Raub, Pahang ini, beliau masih akan mencipta kandungan dan stream secara kasual.

“Saya berharap dapat menjadi seseorang yang boleh menghubungkan industri perubatan dan e-sukan.

“Kepada semua penyokong, rakan-rakan dan rakan kerja, saya harap kita boleh berjumpa lagi.

“Saya merindui anda semua dan jika COVID-19 sudah berakhir, kita boleh bekerjasama sekali lagi,” tulisnya.

Beliau juga sudah menganggap peminat PUBGM dan MLBB ibarat keluarga buatnya.

Kami dari MyGameOn berharap ChuChu akan berjaya dalam apa jua bidang dipilihnya dan pastinya kehadirannya dalam industri e-sukan akan terus diingati biarpun bukan sepenuh masa.

Posting penuh boleh dibaca di Facebook ChuChu Gaming.

RELATED NEWS

+