Fattahzie dan J Hunter jadi Duta Jenama EVOS Esports, Qontra pula Head of Talent

EVOS Esports semalam mengumumkan dua bakat yang terkenal dalam industri e-sukan, Azrul “J Hunter” Anwar dan Fattah “FattahZie” Zakaria sebagai Duta Jenama dengan Aaron “Qontra” Chan kini bertindak sebagai Head of Talent di pasaran Malaysia dan Singapura.

Azrul sememangnya cukup terkenal dan seorang veteran dalam industri ini. Beliau bermula dengan karier sebagai pemain Street Fighter V, mewakili Malaysia di pelbagai peringkat. J Hunter juga menghasilkan podcast antaranya Jlodi dan menyiarkan penstriman langsung untuk berita terkini e-sukan.

Paling menarik, apabila J Hunter juga seorang pengulas e-sukan terkemuka di Malaysia terutamanya dalam permainan mudah alih PUBG Mobile.

“Saya dah mengikuti perjalanan EVOS Esports dan EVOS VIP sejak PUBG Mobile Club Open (PMCO) yang pertama. Dengan kehebatan EVOS Esports di peringkat antarabangsa menunjukkan ia adalah  normal bagi personaliti e-sukan untuk tertarik dengan organisasi ini.

“Keputusan ini mudah bagi saya kerana matlamat kami selari bukan saja dalam e -sukan tapi dalam bentuk kandungan dan hiburan juga,” katanya.

Sementara itu, Fattahzie pula memulakan penstriman langsung pada 2019 dan mempunyai ramai pengikut, lebih 550,000 kerana videonya yang kelakar, mencuit hati dan memberikan satu hiburan kepada peminat gaming dan e-sukan.

“Menjadi duta adalah tanggungjawab besar sebab saya mewakili organisasi e-sukan ternama. Matlamat saya pada 2021 adalah mengangkat EVOS Esports ke tahap lebih tinggi lagi,” katanya.

Aaron pula mempunyai empat tahun sebagai pengulas di kejohanan ternama PUBG Mobile dan pernah menyertai RSG sebagai Pengurus Operasi.

“Ia seperti mimpi jadi kenyataan untuk bekerja dengan organisasi e-sukan terbaik di Asia Tenggara. Saya akan menjadi Head of Talent di MY dan SG dan menguruskan bab kerjasama dan pengambilan bakat. Permintaan untuk kandungan e-sukan makin tinggi dan kami harap dapat melatih pemuda menjadi ikon untuk generasi seterusnya,” katanya.

RELATED NEWS

+