5 permainan yang boleh mengurangkan stres PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dikuatkuasakan semula di beberapa negeri Malaysia akibat peningkatan kes COVID-19. Ramai orang kembali bekerja dari rumah dan perlu mengimbangi masa antara kerja dan keluarga.

Keadaan sebegini boleh menghasilkan stres atau tekanan mental dan emosi yang banyak kepada kita semua. Terdapat beberapa permainan video yang berkesan dalam mengurangkan tekanan ini (pada pendapat penulis).

 

Animal Crossing: New Horizons

Platform: Nintendo Switch

Antara semua permainan yang dilancarkan pada tahun lepas, satu-satunya yang dianggap “permainan wajib waktu PKP” oleh ramai orang ialah Animal Crossing: New Horizons.

Estetik permainan ini yang warna-warni dan penuh keceriaan membenarkan para pemainya untuk berehat dari tekanan-tekanan duniawi.

Ia juga sebuah ubat yang berkesan untuk kekurangan aktiviti sosial kerana anda boleh bermain dengan rakan-rakan. Anda boleh ‘melepak’ di pulau masing-masing dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti memancing, menangkap serangga, dan banyak lagi.

 

The Sims 4

Platform: PC, PlayStation 4 (PS4), Xbox One

Kebosanan di rumah ketika PKP boleh menimbulkan banyak buah fikiran tentang reka bentuk dalaman. Apa kata anda menzahirkan semuanya dalam The Sims 4?

Permainan ini memberikan anda kebebasan untuk mencipta sebuah keluarga dan rumah untuk mereka. Jika anda minat permainan simulasi kehidupan, inilah permainan yang sesuai.

 

Death Stranding

Platform: PC, PS4

Pelaksanaan PKP bermaksud kita hanya dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan dan aktiviti penting lain. Ramai orang juga akan bargantung pada perkhidmatan penghantaran.

Penulis yakin ramai orang rindu untuk keluar rumah dan Death Stranding boleh bantu mengatasi perasaan tersebut.

Dalam Death Stranding, anda dipertanggungjawabkan untuk melakukan penghataran jarak jauh di persekitaran alam semula jadi yang sangat luas dan cantik.

Ada peluang untuk menggunakan kenderaan seperti motosikal tetapi anda selalunya harus berjalan ke destinasi. Permainan ini sebegini ibarat terapi untuk minda dan emosi kita.

 

Abzu

Platform: PC, PS4, Xbox One, Nintendo Switch

Lautan luas penuh dengan keindahan yang jarang sekali dapat kita nikmati. Permainan seperti Abzu memberikan kita peluang untuk menikmatinya di dalam keselesaan rumah.

Abzu ialah sebuah permainan pengembaraan laut di mana anda bermain sebagai seorang penyelam. Permainan ini sangat ringkas dan mudah dimain, membuatkannya sesuai untuk semua orang.

Dalam permainan ini, anda berpeluang melihat kecantikan kehidupan dalam laut. Ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan.

 

Stardew Valley

Platform: PC, PS4, Xbox One, Nintendo Switch, iOS, Android

Jika anda mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang petani dan menguruskan ladang sendiri, Stardew Valley ialah permainan yang sempurna untuk anda.

Selain daripada sayuran-sayuran dan buah-buahan, anda juga boleh menternak haiwan di ladang anda. Terdapat juga lombang berdekatan yang boleh diterokai untuk menewaskan raksasa dan mendapatkan barangan menarik.

Permainan ini menggunakan grafik pixel yang sangat cantik, oleh itu anda tidak memerlukan komputer yang berkuasa tinggi jika mahu bermain di PC. Anda juga boleh main Stardew Valley menggunakan telefon pintar anda.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+