5 pengajaran kehidupan daripada permainan video

Permainan video merupakan satu perantara hiburan yang unik berbanding perantara-perantara lain seperti buku, muzik, dan filem. Para pemain tidak boleh menikmati permainan video jika meletakkan diri dalam situasi pasif. Kita wajib melibatkan diri secara aktif dalam permainan tersebut untuk menikmatinya sepenuhnya.

Penulis sedar bahawa ramai orang, terutamanya daripada Generasi X dan Baby Boomers, lebih cenderung berbahas tentang kekurangan-kekurangan permainan video. Ramai tidak sedar bahawa terdapat pelbagai kelebihan dalam hobi permainan video yang tidak dapat ditemui dalam hobi-hobi lain.

Apabila berbicara tentang buku, filem, dan muzik, antara kebaikan yang sering disenaraikan ialah peluang untuk mempelajari pengajaran-pengajaran kehidupan atau nilai-nilai moral. Sebenarnya, permainan video juga dapat menyampaikan pengajaran-pengajaran yang berguna dalam kehidupan.

Pada pendapat penulis, permainan video sesungguhnya salah satu perantara terbaik untuk mengajar pelbagai nilai-nilai dan kemahiran mental dan emosi. Hal ini demikian kerana pemain perlu menjiwai watak yang dikawal dalam permainan video dan menyelesaikan masalah-masalah yang tersedia.

Sebagai seorang penggemar permainan video yang telah menikmati hobi ini selama berbelas tahun, penulis sendiri mempelajari pelbagai pengajaran-pengajaran yang telah menjadikan diri penulis seorang insan yang lebih cekap mengharungi selok-belok kehidupan.

Berikut adalah tujuh pengajaran kehidupan yang diperoleh melalui permainan video oleh penulis dan ramai lagi penggemar permainan video di luar sana.

 

Cekal menghadapi cabaran hidup

“Anda tidak boleh maju ke peringkat seterusnya jika tidak menyelesaikan masalah-masalah sedia ada.”

Ayat ini boleh digunakan untuk meringkaskan hampir semua permainan video yang wujud. Perkara inilah yang membuatkan permainan video satu hobi yang sungguh unik. Anda tidak boleh menikmati sebuah permainan video sepenuhnya jika tidak menyelesaikan atau gagal menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.

Mungkin masalah tersebut berbentuk musuh yang kuat atau mungkin anda perlu menyelesaikan tekaria yang rumit. Cabaran-cabaran sebegini merupakan perkara asas dalam permainan video. Jika anda gagal, anda harus terus mencuba hingga mencapai kejayaan.

Para peminat permainan-permainan sukar seperti Dark Souls dan Sekiro: Shadows Die Twice sering menyatakan mereka menjadi lebih tabah menghadapi cabaran hidup selepas bermain permainan-permainan ini.

Permainan video mengajar kita bahawa kejayaan adalah milik insan-insan yang tidak berputus asa. Tidak kira betapa susahnya sesuatu perkara, jika kita berusaha memperbaiki diri selepas setiap kegagalan, nescaya kita akan menang dan berjaya.

 

Kerjasama penyelesai masalah besar

Pada zaman ini, terdapat ratusan permainan video multi-pemain yang sangat menyeronokkan. Resipi utama yang membuatkan permainan-permainan ini popular adalah keperluan untuk kita bekerjasama dengan pemain-pemain lain untuk berjaya.

Permainan-permainan seperti Overcooked! dan Moving Out merupakan antara contoh-contoh terbaik. Dalam dua permainan ini, kemenangan hanya boleh dicapai jika semua pemain bekerjasama dalam menyelesaikan tugas-tugas yang diberikan.

Selain daripada mengajar kita kepenting bekerjasama, perkara ini juga menyampaikan kepentingan pengagihan tugas dan kebolehan berkomunikasi dengan jelas. Kedua-dua kemahiran berikut sangat penting dalam kerjaya, pendidikan, dan kehidupan berkeluarga.

Sifat kempipinan seorang individu dapat diasah melalui cabaran-cabaran permainan video yang perlu diselesaikan secara bersama. Ia juga boleh digunakan sebagai latihan membina keyakinan diri dalam situasi-situasi genting.

 

Fikir sebelum bercakap

Antara kelebihan utama kebanyakan permainan video role-playing game (RPG) ialah unsur pemilihan dialog. Kita diberikan peluang untuk memilih antara beberapa respon ketika berdialog bersama watak-watak lain.

Dalam permainan seperti Dragon Age: Origins dan Mass Effect, pemilihan dialog bukan sahaja digunakan untuk penceritaan. Ramai pemain menyukai permainan ini kerana pemilihan dialog juga mempengaruhi pandangan watak-watak lain terhadap watak pemain.

Terdapat pemilihan yang akan membuatkan watak pemain nampak lebih baik dan ada juga yang akan membuatkan watak-watak kurang senang dengan watak pemain. Pemain diberikan kebebasan untuk mencipta perwatakan watak masing-masing.

Kepada pemain yang kurang cekap dalam berkomunikasi atau menghadapi masalah kecanggungan sosial, perkara ini memberikan mereka peluang untuk bereksperimen dan mempelajari cara-cara untuk membawa diri dalam apa-apa perbualan.

 

Sahabat penting dalam kehidupan

Untuk pergi jauh dalam kehidupan, kita perlu mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup bersama kita di detik-detik susah dan senang. Terdapat banyak permainan video yang sering mengingatkan perkara ini kepada pemain.

Antara siri permainan video yang tidak pernah lupa menitikberatkan kepentingan persahabatan ialah Persona atau Shin Megami Tensei. Dalam judul-judul Persona, pemain harus mengeratkan persahabatan dengan watak-watak lain agar mereka menjadi lebih cekap dalam pertarungan.

Jika pemain sering meluangkan masa bersama seorang rakan, mereka akan menjadi lebih setia dan juga lebih kuat atau berkemahiran. Perkara ini sememangya mencerminkan keadaan dalam kehidupan sebenar.

Apabila kita memberi perhatian dan sering membantu rakan-rakan kita, mereka akan membalas dengan memberi bantuan kepada kita apabila ia diperlukan. Mereka juga sentiasa bersedia untuk menadah telinga apabila kita ingin meluahkan perasaan.

 

Setiap orang mempunyai peranan masing-masing

Sebagaimana tidak semua orang ditakdirkan menjadi usahawan, doktor, dan jurutera, sebegitulah lumrah permainan video di mana setiap pemain mempunyai peranan masing-masing. Perkara ini selalunya dapat dilihat dalam permainan RPG di mana pemain akan memilih kelas watak pemain.

Ada pemain yang akan menduduki posisi hadapan dan menjadi tumpuan utama musuh kerana dia handal meyekat atau mengelak serangan dan ada juga pemain yang menyerang dari jauh menggunakan busur atau magik kerana dia lebih cekap menggunakan senjata-senjata tersebut.

Pengajaran ini sangat jelas diperlihatkan dalam permainan-permainan seperti Monster Hunter World dan Diablo. Jika semua pemain memainkan peranan yang sama, maka keberkesanan pasukan tidak sehebat pasukan yang mempunyai pelbagai kelas.

Kita harus sedar bahawa semua individu di dunia ini mempunyai peranan tersendiri mengikut kebolehan dan juga kelemahan masing-masing. Ini juga bermaksud tidak wujud istilah ‘gagal’ dalam memilih kerjaya dan jalan hidup.

Apa yang penting ialah kita sentiasa meletakkan diri dalam posisi yang membenarkan kita untuk menbantu orang lain dan menjadi ahli masyarakat yang berguna.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+