5 kesilapan yang kerap dilakukan oleh streamer baharu

Penulis yakin ramai pemain di Malaysia telah membuat keputusan untuk menceburi bidang livestreaming demi mencari pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Ini merupakan tindakan yang bijak kerana statistik daripada pelbagai laman web telah membuktikan lebih ramai orang cenderung menonton livestream ketika PKP.

Perjalanan untuk menjadi seorang livestreamer yang popular bukan satu kerja yang mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan kegigihan dalam menghasilkan kandungan yang menarik.

Ramai streamer baharu melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan laman atau saluran mereka tidak mendapat sambutan daripada penonton. Berikut adalah lima kesilapan yang patut dielak oleh streamer baharu:

 

Senyap atau kurang bercakap semasa livestream

Terdapat ribuan video permainan di YouTube yang boleh ditonton oleh sesiapa sahaja. Apabila penonton membuat keputusan menonton stream anda, tarikan utama adalah diri anda, bukan permainan yang anda main.

Seorang streamer yang senyap atau kurang bercakap akan gagal menunujukkan personalitinya. Justeru, penonton sukar untuk mengenali perwatakan streamer dan kurang cenderung berinteraksi dalam ruang sembang.

Pastikan anda sentiasa bercakap ketika melakukan livestream. Selain daripada berinteraksi dengan penonton, anda boleh mengulas aksi yang sedang berlaku dalam permainan atau bercerita tentang diri anda.

 

Memilih platform yang tidak sesuai

Terdapat tiga platform streaming utama iaitu Twitch, Facebook Gaming, dan YouTube. Sebelum membuat langkah pertama ke dunia streaming, pastikan anda mempelajari tentang kebaikan dan kelemahan setiap platform.

Twitch memang terkenal sebagai platform streaming paling popular di dunia. Walaubagaimanapun, YouTube lebih mudah diakses oleh penonton umum kerana ia menggunakan akaun Google. Facebook Gaming pula lebih sesuai untuk streamer Bahasa Melayu kerana ramai pemain dan penonton di Malaysia menggunakan Facebook Gaming.

Setiap platform mempunyai cara tersendiri untuk mengurus langganan penonton, sistem pembuatan klip video, dan macam-macam lagi. Penulis mengesyorkan anda untuk membaca artikel dan menonton video yang menerangkan perbezaan antara ketiga-tiga platform ini.

 

Tidak mempromosikan stream di media sosial

Untuk memaksimumkan jumlah penonton yang tahu tentang saluran atau laman stream anda, anda harus mempromosikannya di sebanyak mungkin laman media sosial. Selain daripada berkongsi pautan stream anda di laman media sosial anda sendiri, anda juga boleh menggunakan laman-laman atau pelayan-pelayan tertentu di Facebook dan Discord.

Sebagai contoh, terdapat beberapa laman Facebook yang digunakan sebagai pusat komuniti untuk pemain di Malaysia. Jika anda merancang untuk stream permainan seperti Genshin Impact atau Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), anda boleh kongsi pautan stream anda di laman-laman komuniti permainan tersebut di Facebook.

Satu lagi nasihat yang sering dikongsi oleh streamer lain ialah mempromosikan stream semasa waktu puncak. Beberapa laporan menyatakan waktu puncak di Facebook di negara Malaysia adalah pada waktu 3 petang dan selepas tamat waktu pekerjaan (sekitar waktu Maghrib) dari hari Isnin hingga hari Jumaat.

 

Tidak merancang jadual stream

Jika anda benar-benar ingin menjadi seorang streamer yang berjaya, anda perlu melakukan streaming secara konsisten. Jika tidak, para penonton tidak mempunyai motivasi untuk menjadi pengikut atau pelanggan anda.

Ada streamer yang stream setiap hari, ada yang stream pada hujung minggu sahaja, dan macam-macam lagi jadual berlainan. Anda harus merancang jadual stream anda mengikut gaya hidup anda agar anda boleh stream secara konsisten tanpa memudaratkan kesihatan dan hubungan dengan ahli keluarga.

Walaubagaimanapun, jadual stream yang kemas tidak akan membawa manfaat jika anda tidak berdisiplin. Pastikan anda mengikut jadual stream anda supaya penonton tidak dikecewakan.

 

Pemilihan permainan yang tidak sesuai

Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan semasa memilih permainan yang akan disiarkan. Adakah anda memilih permainan mengikut minat atau disebabkan oleh populariti permainan tersebut?

Permainan yang popular mungkin dapat menarik minat lebih ramai penonton tapi anda akan bertanding dengan lebih ramai streamer. Jika anda memilih permainan yang kurang popular, mungkin lebih susah untuk mendapatkan penonton.

Keputusan ini juga perlu dibuat berdasarkan identiti anda sebagai seorang streamer. Adakah anda mahu dikenali sebagai streamer yang sering main satu atau dua jenis permainan sahaja atau lebih berminat menjadi “variety streamer” yang main semua jenis permainan?

 

Foto: Shroud

RELATED NEWS

+