10 game percuma terbaik untuk main ketika PKPB

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini telah dikuatkuasa semula di beberapa kawasan di negara Malaysia termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Sabah. Hal ini demikian kerana bilangan kes positif COVID-19 telah meningkat secara mendadak.

Ramai warganegara Malaysia kini mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan diri mereka tidak dijangkiti. Antaranya ialah mengurangkan pergerakan di luar rumah dan hanya keluar bila perlu.

Dalam situasi ini, perasaan bosan tidak dapat dielak. Oleh itu, penulis ingin mencadangkan beberapa permainan video percuma yang mampu menghilangkan rasa bosan tersebut.

1. Dauntless

Platform: PC, PlayStation 4 (PS4), Nintendo Switch dan Xbox One

Sering dianggap sebuah klon Monster Hunter, Dauntless tetap mempunyai beberapa aspek yang unik. Sama seperti Monster Hunter World, misi anda dalam Dauntless adalah untuk memburu raksasa bersama rakan-rakan anda.

Anda akan menjadi lebih kuat dengan menghasilkan senjata dan perisai baru dengan menggunakan bahan-bahan yang diperoleh daripada raksasa yang dibunuh. Terdapat juga syarat-syarat cabaran seperti membunuh seekor raksasa dalam tempoh yang ditetapkan dan banyak lagi.

 

2. PUBG Mobile

Platform: Android dan iOS

Antara semua permainan video battle royale di peranti mudah alih, penulis berpendapat PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile masih yang terbaik. Ia mudah untuk dipelajari oleh pemain baru dan boleh dimain menggunakan telefon pintar berspesifikasi rendah.

Dalam PUBG Mobile, anda akan bermain dalam pasukan empat pemain dalam sebuah peta yang besar. Misi anda adalah untuk menjadi skuad terakhir yang hidup. Dapatkan senjata, perisai dan barang-barang lain di sekitar peta.

 

3. Call of Duty: Warzone

Platform: PC, PS4, dan Xbox One

Baru sahaja dilancarkan, Call of Duty: Warzone telah pun menjadi salah satu permainan video battle royale yang paling popular di PC, PS4, dan Xbox One. Ia mencapai 6 juta pemain dalam masa 24 jam.

Jangan risau kalau anda tidak pernah main Call of Duty: Modern Warfare (2019). Anda akan memulakan Warzone dengan sebuah tutorial yang mengajar anda semua kawalan dan fungsi asas.

Setiap pusingan Battle Royale dalam Warzone mengandungi 150 pemain dan anda akan bertarung untuk menjadi skuad terakhir yang hidup. Pastikan PC atau konsol anda mempunyai storan yang mencukupi kerana Warzone memerlukan sekitar 85GB.

 

4. Mobile Legends: Bang Bang

Platform: Android dan iOS

Salah satu kebaikan permainan video genre MOBA di peranti mudah alih ialah mereka lebih mudah untuk dipelajari. Pada pendapat penulis, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) adalah permainan yang sempurna untuk mereka yang mahu mencuba permainan video MOBA di telefon pintar.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai ramai pemain Mobile Legends. Oleh itu, tidak susah untuk pemain baru mencari rakan untuk bermain bersama. Terdapat juga ramai pemain handal atau pro yang sering melakukan livestream yang boleh ditonton untuk pelajari cara permainan mereka.

 

5. Warframe

Platform: PC, PS4, Nintendo Switch, dan Xbox One

Pernah terfikir untuk menjadi seorang ninja makhluk asing di angkasa lepas? Kalau anda tidak pernah terfikir pun, mesti anda nak. Warframe adalah permainan video yang memberikan pengalaman sebegitu.

Dalam Warframe, anda akan mengawal seorang ninja makhluk asing yang mempunyai pelbagai jenis kebolehan. Anda juga akan menggunakan pelbagai jenis senjata api seperti pistol, senapang, dan banyak lagi. Ninja semestinya mempunyai senjata jarak dekat juga dan anda akan menggunakan katana, tongkat (staff), dan macam-macam lagi.

Warframe adalah sebuah permainan video dalam talian. Maksudnya anda juga boleh bermain bersama rakan-rakan dan menyelesaikan misi bersama-sama sebagai pasukan ninja hebat.

 

6. Call of Duty: Mobile

Platform: Android dan iOS

Kalau PUBG Mobile tidak menarik bagi anda, cuba pula Call of Duty: Mobile (CODM). Ia mempunyai beberapa mod permainan yang berbeza berbanding dengan PUBGM. Jenis-jenis senjata juga berlainan.

CODM menekankan cara permainan first-person shooter dan mengandungi ciri-ciri lain yang unik seperti killstreaks yang memberikan kebolehan istimewa seperti menggunakan radar untuk melihat posisi pihak musuh dan banyak lagi.

 

7. Brawlhalla

Platform: PC, PS4, Nintendo Switch, dan Xbox One

Apabila bercakap tentang permainan video genre arena brawler, ramai orang tahu tentang Super Smash Bros. Ultimate tetapi permainan video tersebut hanya dilancarkan untuk Nintendo Switch.

Untuk mereka yang tidak mempunyai Nintendo Switch, Brawlhalla merupakan satu alternatif yang patut dicuba. Ia boleh dimainkan oleh empat pemain sekaligus secara dalam talian dan juga luar talian.

Brawlhalla tidak mempunyai ciri-ciri yang terlalu ganas. Oleh itu, ia sesuai untuk dimain oleh seisi keluarga.

 

8. Destiny 2

Platform: PC, PS4, dan Xbox One

Destiny 2 sering dinobatkan sebagai salah satu permainan video first-person shooter dalam talian terhebat pada generasi ini. Pada tahun lepas, Bungie (pembangun) telah membuat keputusan untuk menjadikan ia permainan video percuma.

Mekanik tembakan dalam Destiny 2 sangat memuaskan. Selain itu, ia juga mempunyai kualiti grafik yang berjaya memberikan impak terhadap pemain. Anda digalakkan main secara dalam talian kerana ia membolehkan anda untuk bermain bersama-sama ribuan permain lain.

 

9. Apex Legends

Platform: PC, PS4, dan Xbox One

Kalau anda mencari permainan video battle royale yang lain daripada yang lain, Apex Legends ialah jawapannya.

Dibangunkan oleh studio juga membangunkan Titanfall 2, Apex Legends meletakkan kepentingan dalam cara pergerakan dan bukan sahaja kehandalan menembak. Anda boleh meluncur, berayun menggunakan grapple hook, menggunakan jump pad untuk lompat lebih tinggi, dan banyak lagi pergerakan teknologi berkuasa tinggi.

 

10. Path of Exile

Platform: PC, PS4, dan Xbox One

Sekali pandang sahaja dan ramai peminat Diablo dapat cam bahawa Path of Exile (PoE) banyak mengambil elemen-elemen dari siri Diablo. Walaubagaimanapun, PoE bukan sekadar sebuah klon kualiti rendah.

PoE sememangnya sebuah judul percuma tetapi ia mempunyai kualiti setanding permainan video yang dijual pada harga puluhan ringgit. Cara permainan mudah untuk dipelajari tetapi ia agak kompleks apabila anda mencapai level tinggi dan memasuki kawasan yang susah.

Sama seperti Diablo, PoE boleh dimain secara dalam talian dan anda boleh bermain dan bertarung dengan pemain-pemain lain.

RELATED NEWS

+