Review: Nightstream – Sebuah Game Endless Runner Membolehkan Korang Terapung & Meluncur Tanpa Batasan

Tanpa disangkal lagi, industri video game di Malaysia semakin berkembang dengan inovasi game yang menarik perhatian ramai gamers di Malaysia mahupun di luar negara terutamanya dalam pembangunan game mobile.

Antara studio game bakal menambah koleksi game mobile yang dibangunkan oleh anak-anak Malaysia, kini tiba pula giliran Streamline Games tampil dengan game pertama mereka berjudul Nightstream.

Nightstream mencorakkan gaya lain daripada yang lain dalam genre ‘endless runner‘ dengan mengajak korang untuk meluncur ke mana-mana sahaja tanpa memerlukan landasan.

Nak tahu apakah kelainan Nightstream? Jom baca review kami di bawah!

Meluncur masuk ke dunia Nightstream

Nightstream merupakan sebuah game berbentuk endless runner memfokuskan kisah seorang Axon Runner bernama Julio yang ingin mencari kembali dua rakan karibnya, Joze dan Maya yang menetap di Metronite City.

Julio bersama-sama Joze dan Maya terdiri dari sebuah kumpulan digelar sebagai Axon Runner. Tersembunyi dari pemerintahan kuku besi Metronite Corporation, kumpulan ini bertujuan untuk mengkaji kuasa di sebalik Nightstream yang masih lagi menjadi sebuah misteri dan bersumpah untuk mempertahankan Nightstream daripada jatuh ke tangan syarikat korporat jahat.

Ketika trio ini giat mengkaji misteri kuasa Nightstream, Joze dan Maya mengesan sesuatu tidak dijangka dalam Nightstream. Lalu, hubungan mereka bertiga menjadi renggang dan kedua-dua Axon Runner membuat keputusan untuk menyembunyikan diri jauh ke dalam data Nightstream.

Seorang yang mahir menganalisa data Nightstream, Julio enggan berputus asa dalam misi pencarian rakan seperjuangannya tetapi dia tidak boleh tinggalkan tempat pusat Axon Runner kerana dia perlu melihat data itu secara dekat untuk mencari jejak Joze dan Maya.

Di sini bermulalah perjalanan pemain sebagai pelatih baru menyertai kumpulan Axon Runner bekerjasama bersama Julio untuk menyiasat kehilangan Joze dan Maya sebelum mereka lesap dari pandangan mata Julio dan Metronite City.

Menempa nama lain terhadap genre endless runner

Genre endless runner atau diterjemahkan sebagai larian tanpa had, dimaksudkan satu karakter berlari ke arah secara berterusan seperti yang telah ditetapkan oleh pembangun game. Genre ini sudah lama wujud dalam pelbagai game seperti Crash Bandicoot, Super Mario Run dan bermacam-macam lagi.

Karakter ini boleh bertukar arah mengikut pergerakan daripada pemain sendiri sama ada untuk terus berlari atau melompat untuk mengumpul coin atau ganjaran di akhir sesuatu tahap.

Oleh kerana pergerakan karakter ini akan terus berlari ke arah sama kecuali diubah oleh pemain sendiri, genre endless runner ini amat popular dalam game mobile. Korang hanya perlu tap atau swipe di skrin telefon pintar untuk bermain game tergolong dalam genre ini.

Nightstream terbahagi kepada dua mod berbeza iaitu story mode dan nightstream mode. Dalam story mode, pemain boleh berkongsi pengalaman sebagai seorang Axon Runner dan memilih untuk bermain antara tiga karakter yang mempunyai personaliti dan motivasi tersendiri iaitu Leto, Roxy Razers dan Zara.

Antara karakter boleh dipilih oleh pemain – Leto, Roxy dan Zara

Leto ialah individu yang sangat kompetitif dan sukakan menghadapi segala cabaran. Roxy Razers ialah seorang kurier yang suka bermain game di masa lapang dan sering bergurau-gurau dengan runner lain melalui kaedah penggodaman.

Walaupun bekerja di siang hari sebagai barista, Zara komited dalam perjuangannya sebagai Axon Runner untuk menuntut keadilan terhadap kematian adik lelakinya disebabkan oleh satu kemalangan berlaku di kilang milik Metronite Corporation. Zara mungkin seorang yang degil dan serius kepada orang yang baru mengenali dia tetapi kadang-kadang runner boleh melihat sisi ayu dan lembut.

Nightstream mode adalah mod menjurus kepada elemen endless runner iaitu pemain boleh terus berlari tanpa had dan merentas pelbagai lokasi dalam Nightstream asalkan tidak langgar apa-apa halangan sebanyak dua kali. Segala orb yang pemain kumpul dalam nightstream mode boleh ditukarkan kepada mata Axion yang boleh digunakan untuk membeli papan peluncur dan karakter baru.

Kawalan bebas mengikut cara pemain

Nightstream mengikut kaedah gameplay agak sama iaitu tap atau swipe di paparan skrin bagi menggerakkan Axon Runner tetapi diubahsuai dengan keunikan tersendiri. Melalui papan peluncur yang diberikan kepada Axon Runner, pemain boleh mengapungkan diri, melompat dan meluncur bagi mengumpul orb dan powerup di setiap tahap yang merentasi pelbagai lokasi di Metronite City.

Meluncur masuk ke terowong Mark II

Dalam setiap tahap, pemain menembus masuk ke dalam tiga peringkat dipanggil sebagai Mark yang bakal mengubah tolok kesukaran. Mark I adalah tahap asli di mana pemain boleh meluncur dengan mudah. Bila sampai ke peringkat Mark II, halangan dinding semakin tinggi dan lompong semakin luas. Akhir sekali, pemain tiba ke Mark III yang memberi cabaran paling tinggi kepada pemain kerana pemain harus elak dari serangan dron bertalu-talu dan melepasi dinding tinggi serta jurang lompong besar.

Oleh itu, pemain perlu cekap dengan jari jemari mereka untuk mengapungkan runner di atas siling ketika ketiadaan lantai dan mengelak daripada dilanggar dinding. 

Korang harus elak laser berbahaya ini!

Berbeza daripada hanya swipe dan tap ke kiri atau ke kanan, Nightstream memerlukan keseluruhan koordinasi kedua-dua tangan untuk mengelak dari terjunam ke bawah dan dapatkan pelbagai jenis powerup yang boleh digunakan bagi menjatuhkan kapal dron memburu pemain.

Terdapat lima jenis powerup yang melancarkan peluncuran korang iaitu Rocket (peluru berpandu), Phaser (tembus ke mana-mana permukaan dan halangan), Shield (mempertahankan diri dari serangan dron), SloMo (melambatkan masa) dan Magnet (menarik semua orb ke arah runner).

Kesimpulannya…

Setelah berjaya menghabiskan kesemua tahap story mode dan mencuba nasib dalam nightstream mode, Nightstream semestinya memecah benteng genre endless runner dengan memberi kawalan 360 darjah di atas tangan pemain. Korang boleh terapung, meluncur atau melompat dalam masa yang sama tanpa masalah.

Apa yang menarik perhatian saya adalah game ini dipersembahkan dengan gaya buku komik asli dan bermutu tinggi yang berjaya menyerlahkan dunia sains fiksyen di sebalik misteri Nightstream dalam Metronite City. Pergerakan animasi karakter sangat lancar dan korang boleh menikmati runut bunyi elektronik sambil meluncur tangkas dalam Nightstream.

Walaupun ia berjaya membuka landskap baru terhadap genre endless runner, Nightstream adalah game sangat pendek dengan tujuh tahap disediakan dalam story mode. Korang boleh habiskan keseluruhan story mode dengan mudah dalam masa satu jam. Selain itu, kawalan bebas Nightstream mungkin menjengkelkan sesetengah pemain apabila tiba ke peringkat Mark tertinggi dalam tahap tertentu. Namun, korang boleh tukar sensitivity di bahagian settings mengikut kesesuaian sendiri.

Saya juga berhadapan beberapa isu lagging dan bug seperti terus menjunam jatuh tanpa henti tetapi memandangkan game ini baru dilancarkan beberapa hari lepas, saya yakin Streamline Studios sedang memperbaiki masalah-masalah ini.

Lebih-lebih lagi, Streamline Studios akan tampilkan beberapa karakter baru dan online leaderboard mencakupi kedua-dua peranti Android dan iOS untuk update pada masa akan datang.

Jika korang memang gemar bermain game seperti Temple Run dan Subway Surfers, Nightstream adalah sebuah game yang berjaya membawa makna hasil larian tanpa had yang sebenar.

Nightstream sudah tersedia untuk download di Android dan iOS.

RELATED NEWS

+