Pengarah Game of Life, Syafiq Yusof kata filem tentang Soloz ini adalah yang paling unik

“Ikutkan, konsep sangat berbeza kerana selalunya aksi polis atau aksi komedi. Kali ini memang paling unik, tak pernah buat filem tentang mobile gaming,” itu kata Syafiq Yusof yang akan mengarahkan filem Game of Life, sebuah filem baru bertemakan e-sukan.

Syafiq berkata demikian dalam satu acara sidang media yang dianjurkan di Connexion Conference & Events Centre, Bangsar South, semalam.

  

Filem itu akan membawa penonton menyelami perjalanan Soloz menempa nama sebagai pemain profesional dalam arena MLBB. Hun Haqeem akan membintangi filem ini sebagai watak Soloz.

“Kami dah tulis skrip sejak hujung tahun lepas dan sudah 90% hampir siap.

“Bagi bahagian teknikal, kami banyak berdiskusi dengan MOONTON bagi memastikan filem ini mengikut garis panduan game dengan betul,” tambah Syafiq.

Kata Syafiq, filem ini bakal mendidik lebih ramai penonton bahawa stigma bermain game membuang masa perlu diubah dan ia juga boleh menjana pendapatan.

Dia berkata, filem ini memasukkan unsur tauladan untuk masyarakat.

Game of Life akan diarahkan oleh Syafiq Yusof yang terkenal dengan karya trilogi Abang Long Fadil dan Polis Evo 3. Ia diterbitkan oleh Key Billions Sdn Bhd, di mana filem tempatan pertama bertemakan e-sukan ini menelan kos sebanyak RM8 juta.

Frame Motion Studio akan bekerjasama untuk kesan khas dan Skop Productions sebagai pengedar rasmi.

Ia mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan dan bakal menemui penonton di pawagam pada pertengahan Januari 2025.

RELATED NEWS

+